Ucapan Perasmian Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2017 Peringkat Negeri Selangor

d2f12b35-6a0f-49ce-8645-f3d5fcc04a43

SELAMAT MENYAMBUT HARI WANITA SEDUNIA 2017!

1. Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Ilahi kerana pada petang yang berbahagia ini dapat kita berkumpul dalam Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2017 Peringkat Negeri Selangor dengan tema #BeBoldForChange.

2. Setiap tahun kita meraikan hari yang istimewa ini bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan dan peranan wanita dalam membangun masyarakat dan negara yang penyayang, berdaya saing dan harmoni.

3. Kerajaan Negeri Selangor mendukung peranan wanita sebagai agen perubahan yang selaras dengan matlamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam Sustainable Development Goals (SDGs) 2030 untuk mencapai kesaksamaan gender dan membangun daya upaya kaum wanita dan kanak-kanak perempuan.

4. Wanita dianugerahkan dengan kelembutan sebagai seorang ibu dan isteri, juga kekuatan dan kemampuan untuk memimpin bukan sahaja anak-anak dan keluarga, malah masyarakat dan negara. Anugerah yang istimewa inilah yang memberi kelebihan kepada kaum hawa untuk membentuk dan membina sebuah generasi yang bersahsiah tinggi dan patriotik serta bersifat melindung.

5. Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan wanita dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi dan modal insan di negeri ini. Penglibatan kaum wanita tidak wajar dinafikan seiring dengan peranan dan sumbangan kita dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

[Pencapaian Wanita di Selangor]

6. Kerajaan Negeri berbangga dengan pencapaian wanita di Negeri Selangor yang mendahului negeri-negeri lain di Malaysia dengan memiliki 15 orang ADUN wanita atau 27%, dengan Speaker Dewan Negeri adalah seorang wanita, dua orang Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco), dua orang Yang DiPertua Majlis Pihak Berkuasa Tempatan dan seorang Pegawai Daerah wanita.

7. Kerajaan Negeri Selangor juga berbangga dengan 41% Pegawai Kanan Kerajaan Negeri yang terdiri daripada wanita, lantikan dua orang hakim wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor dan tujuh hakim wanita di Mahkamah Rendah Syariah Negeri Selangor serta lantikan 59 orang Ahli Majlis wanita. Kerajaan Negeri juga telah melantik seorang wanita untuk menerajui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), sebuah badan berkanun negeri yang menjadi penyumbang besar kepada hasil negeri. Ini membuktikan keseriusan Kerajaan Negeri Selangor dalam mengarusperdanakan wanita dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

[Inisiatif Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS)]

8. Dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Arif Prof. Adjung Dato’ Dr. Haji Mohd. Naim Bin Haji Mokhtar, Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor di atas reformasi dalam sistem kehakiman syarie yang dilaksanakan serta diperjuangkan, termasuk sokongan dan kepercayaan yang diberikan dalam mengiktiraf kemampuan dan pencapaian wanita dalam bidang kehakiman syariah dengan tidak melihat isu gender sebagai satu halangan.

9. Pada hari ini kita telah menjemput salah seorang Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Shariah iaitu Yang Arif Puan Noor Huda Binti Roslan untuk berkongsi pengalaman dan aspirasi dalam menjalankan tanggungjawab yang besar dalam institusi keadilan di negara kita untuk dipelajari dan dihayati bersama.

10. Selain daripada itu, pelbagai inisiatif oleh pihak JAKESS dalam membela dan memperjuangkan hak dan nasib kaum wanita serta anak-anak dalam kes-kes seperti mendapatkan hak untuk membubarkan perkahwinan, tuntutan nafkah, tuntutan harta sepencarian, hak penjagaan anak dan sebagainya.

11. Peranan kritikal oleh pihak Mahkamah Syariah dalam memudahkan urusan wanita dan keluarga ini bukan sahaja tekah memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada kaum wanita bahawa Mahkamah Syariah berperanan sebagai pusat rujukan keluarga, secara tidak langsung ia juga telah memelihara wanita daripada aspek keselamatan, emosi dan kewangan.

[Sustainable Development Goals (SDGs 2030)]

12. Pada November 2016 yang lalu, Kerajaan Negeri telah menganjurkan Selangor Women Convention 2016 yang telah dihadiri oleh lebih 500 orang peserta daripada pelbagai organisasi, NGO dan parti politik.

13. Antara resolusi yang telah dicapai pada konvensyen tersebut adalah :

a) untuk mengangkat agenda Sustainable Development Goals (SDGs) melalui matlamat kelima iaitu Kesaksamaan Gender dan Pemberdayaan Wanita, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu;

b) Menanda aras polisi gender yang progresif daripada negara-negara Scandinavian seperti Sweden dan Norway untuk memastikan Negeri Selangor setanding dengan negara-negara maju yang lain;

c) Mengukuhkan institusi kekeluargaan melalui program yang menitikberatkan tanggungjawab bersama antara suami dan isteri serta penerapan nilai-nilai murni agama dalam program-program berkaitan agar dapat melahirkan generasi yang berkualiti dan berjaya;

d) Menambahbaik polisi sediada bagi meningkatkan penglibatan wanita sekurang-kurangnya 30% dalam politik, ekonomi dan sosial; dan

e) Memastikan pelaksanaan Belanjawan Responsif Gender di peringkat Kerajaan Negeri secara berfasa.

14. The Global Goals for Sustainable Development atau Matlamat Global untuk Pembangunan Mampan ini merupakan satu ikrar dan komitmen global untuk memelihara bumi dan memastikan kesejahteraan buat seluruh penghuninya.

15. Oleh yang demikian, matlamat yang digariskan oleh PBB melalui Sustainable Development Goals ini adalah amat mustahak dan kritikal untuk semua pihak memainkan peranan masing-masing demi kelangsungan hidup semua yang lebih sempurna.

[Institut Wanita Berdaya – Belanjawan 2017]

16. Agenda pemberdayaan wanita merupakan antara fokus utama dalam Belanjawan 2017 yang telah dibentangkan oleh Dato’ Menteri Besar pada November yang lalu.

17. Antara komponen penting adalah penubuhan Institut Wanita Berdaya dengan peruntukan sebanyak RM1 juta setahun yang berperanan membantu Kerajaan Negeri dalam menggubal dasar dan kajian khusus berkaitan wanita.

18. IWB akan bertindak sebagai sebuah tink-tank kepada Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita dan Keluarga dalam menghasilkan dasar-dasar dan kajian yang diperlukan bagi membentuk program-program serta inisiatif untuk pembangunan dan pemberdayaan kaum wanita di Selangor.

19. IWB akan mula beroperasi sepenuhnya dalam masa terdekat dan Dasar Wanita Selangor akan dibentangkan buat pertama kalinya.

[Kempen HeForShe]

20. Sokongan dan dukungan Kerajaan Negeri adalah berterusan dalam mengangkat agenda pemberdayaan wanita demi kesejahteraan sejagat. Pelancaran kempen #HeForShe di peringkat Negeri Selangor pada Februari 2016 membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyeru kaum lelaki bersama-sama memperjuangkan hak wanita serta melindungi dan menghormati kaum wanita untuk memastikan pembinaan institusi keluarga yang harmoni sekaligus membentuk persekitaran yang selamat untuk semua.

21. Dan pada hari ini, Kerajaan Negeri sekali lagi meneruskan agenda Kesaksamaan Gender oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui kempen #HeForShe dengan mewujudkan Kelab HeForShe, yang akan dipimpin oleh Saudara Yusmadi Yusoff, pengasas RIGHTS Foundation satu badan yang memperjuangkan hak asasi manusia dan keadilan sosial sejagat.

22. Saya percaya dengan kewujudan Kelab HeForShe ini akan merancakkan lagi kempen kefahaman gender dan memberi kesedaran kepada kaum lelaki untuk melindungi, menghormati serta memperjuangkan hak kaum wanita demi mencapai kesaksamaan gender.

23. Dengan tema #BeBoldForChange atau #BeraniUntukBerubah Sambutan Hari Wanita Sedunia 2017 mengajak semua pihak untuk bertindak sekarang ! Untuk berani membuat perubahan di semua peringkat demi memberikan hak yang sewajarnya dinikmati oleh kaum wanita dengan kredibiliti dan kepimpinan wanita, berani untuk memastikan persekitaran yang selamat untuk wanita dan anak-anak, berani untuk menghentikan segala bentuk penindasan dan diskriminasi terhadap kaum wanita dan berani bertindak bermula dari diri kita sendiri.

24. Ayuh, kita sama-sama #BeBoldForChange ! Kerana perubahan ini tidak akan berlaku jika bukan kita yang memperjuangkannya, jika bukan sekarang.

#BeBoldForChange
#EmpoweringWomen #EmpoweringMalaysia

SELAMAT HARI WANITA !

YB Dr Daroyah Alwi
Exco Hal Ehwal Wanita & Keluarga Negeri Selangor