
Tarikh sebenar sambutan tahunan meraikan pentadbiran Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat adalah sama dengan sambutan Hari Wanita Sedunia, 8 Mac. Allah sahaja yang mengetahui hakikat hikmahnya. Tetapi yang jelas ialah pengundi wanita di Selangor telah menegaskan keinginan politik mereka dengan memilih Pakatan Rakyat sebagai pentadbir kerajaan negeri Selangor yang baru sejak 8 Mac 2008 lalu.
“Pemberdayaan Masyarakat Demi Jaminan Kewangan Wanita”, demikianlah tema yang telah Kerajaan Negeri Selangor gagaskan sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia bagi tahun 2011 ini. Secara umumnya pemberdayaan masyarakat bererti suatu proses pembangunan manusia atau masyarakat melalui pengembangan kemampuan masyarakat, perubahan perilaku masyarakat dan pengorganisasian masyarakat. Manakala yang kita maksudkan dengan jaminan kewangan wanita ialah golongan wanita mempunyai kedudukan dan simpanan kewangan yang cukup untuk kehidupan pada masa hadapan.
Sesungguhnya pemilihan tema sedemikian adalah sebagai tanda pengiktirafan kita kepada sumbangan golongan wanita yang sebenarnya mewakili hampir 36 peratus daripada tenaga kerja di negara ini. Satu statistik juga mendedahkan bahawa kira-kira 4.7 juta wanita berada di luar pasaran buruh dan tidak bekerja, yang mana majoriti wanita yang berada di luar pasaran buruh adalah suri rumah tangga iaitu hampir 3 juta orang. Mereka yang berada di luar pasaran buruh ini juga sebenarnya menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di negara ini. Suri rumah ini menyumbang kira-kira 45 peratus dalam kerja-kerja tanpa bayaran. Sumbangan ini jika dinilai dari segi wang ringgit, ia dianggarkan berjumlah hampir RM55 bilion berasaskan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2006. Keadaan ini jelas membuktikan bahawa masyarakat harus menghormati dan menghargai hak-hak yang dimiliki oleh golongan wanita, termasuk hak mereka dalam bidang ekonomi.
Pada masa yang sama kita juga menyedari bahawa golongan wanita masih tidak dapat lari daripada isu-isu seperti perceraian, keganasan rumah tangga dan penganiayaan terutama hak sebagai isteri. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jumlah perceraian pada 2007 adalah sebanyak 20,529 kes, yang mana perceraian paling tinggi didaftarkan di negeri Selangor iaitu sebanyak 3,722 kes. Portal Ibu Tunggal Selangor pula mencatatkan pendaftaran sebanyak 26,000 ibu tunggal sejak tahun 2008, yang mana kita percaya jumlah mereka yang masih belum mendaftar adalah lebih besar lagi. Manakala mengikut statistik kes keganasan rumah tangga pula, sebanyak 529 kes keganasan rumah tangga dilaporkan pada tahun 2007 berbanding 485 kes pada tahun 2006, 421 kes (2005) dan 560 kes (2004). Statistik ini tidak termasuk kes-kes yang mungkin tidak dilaporkan. Gejala keganasan terhadap wanita ini sedang diteliti dengan mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh dan sistematik untuk menghapuskannya. Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, yang memiliki sumber-sumber dan jentera yang diperlukan, dan Kerajaan Negeri amatlah penting dalam memastikan wanita menikmati rasa selamat dan aman di negeri Selangor.
Apa pun, keadaan tersebut juga jelas menggambarkan suatu usaha yang sesuai amat diperlukan bagi memastikan wanita yang menjadi mangsa gejala-gejala di atas ini mendapat pembelaan yang sewajarnya, khususnya dalam hal kewangan sebagai jaminan untuk mereka meneruskan kehidupan pada masa hadapan.
Maka, pada hari ini saya ingin menyarankan agar golongan wanita hari ini mula menetapkan sasaran untuk mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kaum lelaki. Dalam hal ini, golongan wanita haruslah mempunyai kesedaran yang tinggi dalam usaha merancang kewangan supaya mempunyai simpanan jaminan untuk masa depan.
Pengetahuan mengenai perkara yang membabitkan kewangan sebenarnya akan dapat membantu golongan wanita untuk lebih cekap membuat keputusan. Dalam Islam sendiri, Seseorang isteri boleh mengambil daripada harta suaminya (kekayaan, pendapatan, gaji, dan aset-aset lain) walaupun jika dia tidak ada kebenaran yang jelas dari si suami, dengan tujuan untuk membayar apa-apa yang diperlukan untuk perbelanjaan peribadi dan keluarga secara kebiasaan. Ini termasuk dalam memberikan sedekah apabila orang memberikan kepada si miskin dan yang memerlukan apabila berlaku sesuatu peristiwa.
Hal ini bertepatan dengan hadis Rasulullah s.a.w., yang mana Rasulullah s.a.w. mengizinkan Hindun mengambil wang yang diperlukan daripada Abu Sufyan tanpa pengetahuan suaminya kerana Abu Sufyan seorang yang agak berkira dengan isterinya. Sabda baginda, “Ambil daripada hartanya (Abu Sufyan) sekadar mencukupi kamu dan anak-anak kamu dengan baik.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Selain itu sumbangan secara tidak langsung oleh isteri seperti sumbangan ke arah kebajikan keluarga dengan memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga juga diambil kira sebagai sumbangan untuk memperoleh harta sepencarian. Penyertaan isteri dalam kerja-kerja suaminya walaupun secara tidak langsung seperti hanya mengiringi suami dalam perjalanan untuk menjalankan perniagaan hendaklah dianggap sebagai sumbangannya dalam perolehan harta kerana penyertaan isteri itu memberi kedamaian dan ketenteraman kepada suami sehingga berjaya dalam pekerjaannya. Oleh itu apa-apa aset atau harta yang diperoleh semasa perkahwinan adalah menjadi harta sepencarian. Sumbangan tidak langsung ini telah diiktiraf oleh hukum Syarak.
Dalam ayat 228 surah al-Baqarah, Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang hukum Syarak)…”
Pengetahuan mengenai hal-hal kewangan juga boleh mengurangkan kemungkinan mereka daripada melakukan kesilapan atau tertipu, di samping dapat belajar membezakan antara keperluan dan kehendak. Dengan menjadi orang yang celik kewangan juga, wanita boleh memperbaiki kualiti hidup mereka melalui amalan tatalaku pengurusan yang lebih kukuh, membuat keputusan yang tekal dengan nilai-nilai mereka dan lebih peka terhadap hak dan tanggungjawab mereka.
Lazimnya wanita berpendapatan lebih rendah berbanding lelaki, malah wanita juga kurang membuat pelaburan. Ini bermakna wanita mendapat kurang ganjaran pencen dan faedah persaraan.
Oleh hal yang demikian, adalah penting bagi wanita untuk belajar mengawal cara berbelanja dan menyedari bahawa menguruskan wang adalah sama penting dengan mendapatkan wang. Langkah-langkah seperti amalan berjimat-cermat dan menabung adalah perlu bagi memastikan kewangan kita sentiasa stabil dalam menempuh apa-apa kemungkinan yang bakal berlaku pada masa hadapan.
Di samping itu, nilai penting yang diutamakan dalam perancangan dan perlaksanaan program-program wanita di Selangor ialah unsur mentor-mentee dan kesaksamaan substantif (substantive equality). Kedua unsur tersebut menitikberatkan latihan dan bimbingan serta hasil yang memberi keadilan dan kesaksamaan yang hakiki kepada rakyat. Antara mekanisme yang mampu memperoleh keadilan dan kesaksamaan itu ialah menerusi belanjawan gender atau gender budgeting yang menekankan ketelitian terhadap proses penetapan bajet dan pengagihan belanjawan negeri Selangor. Ia mengambil kira dengan lebih rapi dan berhemat keperluan-keperluan lelaki dan wanita dalam semua lapangan aktiviti rakyat Selangor. Proses belanjawan gender mampu mengenal pasti sebarang ketirisan, pembaziran dan pemborosan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri dan mengesyorkan pengagihan yang lebih telus, adil, dan saksama. Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita akan mencadangkan agar Kerajaan Negeri Selangor mengambil belanjawan gender ini sebagai satu perspektif yang diutamakan ketika merangka belanjawan negeri pada masa depan.
Akhir kata, jaminan kewangan kepada wanita adalah sebahagian daripada hak pengagihan yang wajar dipenuhi oleh masyarakat yang berdaya dan kerajaan yang beramanah. Kerajaan Negeri Selangor dan seluruh warganya akan terus melangkah dengan penuh komitmen untuk memberdaya rakyatnya demi kepentingan wanita dan jaminan kewangannya.
Selamat menyambut Hari Wanita Sedunia 2011.
YB Puan Rodziah Ismail
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita
Sains, Teknologi & Inovasi dan Kebudayaan
Kerajaan Negeri Selangor